Wednesday, November 14, 2012

Permulaan Suatu Hijrah

Islamic Calligraphy
Dengan nama Allah Yang Maha Pengaseh 
lagi Maha Penyayang



Inilah dia kalimah indah yang kita ucapkan sebelum memulakan sebarang pekerjaan. Niat kita sudah terakam dengan ucapan ini, iaitu apa sahaja yang kita lakukan, adalah "Dengan nama Allah..."

Secara lazimnya, apabila melafazkan kalimah ini, kita mengharapkan "keselamatan" atau perlindungan Allah, dari melakukan sebarang kesilapan,  atau kesusahan dalam melakukan sesuatu perkara. Mungkin ada yang menginginkan keberkatanNya (blessings) juga dengan ucapan Bismillah ini.

Ada pula yang melafazkan kalimah ini secara automatic atau spontan kerana kebiasaan. 

Walau apa pun, biarlah kita betul-betul menghayati kebesaran kalimah agung ini, dan menjadikannya pengaruh yang besar dalam kehidupan dan pekerjaan harian kita, pada sifat kita, pada cara pemikaran kita, pada tindak tanduk kita...pada jiwa kita.

Untuk memulakan tahun baru hijrah hari ini, 1 Muharam 1434, bersamaan 15 November 2012, saya terpanggil untuk menulis tentang kalimah   بسم الله الرحمن الرحيم  yang menjadi permulaan segala perbuatan. 
Yang ingin difokuskan di sini ialah nama-nama yang Allah pilih di dalam kalimah ini, iaitu "Ar-Rahman" dan "Ar-Rahim". Di antara 99 nama yang diberitahuNya kepada hamba-hambaNya, 
Allah telah memilih nama-nama yang menggambarkan sifatNya yang memberi, yang pemurah, yang perihatin dan yang menunjukkan penuh kesian.

Mengapa Allah tidak memilih nama yang menunjukkan sifatNya yang berkuasa tiada had atau batasnya seperti Ya Qawiyyun atau Ya Jabbar? Atau nama-nama yang menunjukkan kebijaksanaanNya yang tiada bandingan seperti Ya 'Alim dan Ya Hakim...

Saya tidak pasti apakah jawapannya yang sebenar, namun yang saya pasti, kasih, sayang dan cinta adalah perasaan atau emosi yang terlalu kuat dan berpengaruh, yang mampu menzahirkan niat dan hasrat, yang mampu memanifestasikan sesuatu pada tahap getaran menjadi nyata dengan terbentuknya molikul dan zarah.

Kasih dan sayang adalah raja kepada semua emosi yang lain dan kita seharusnya bersandarkan setiap niat dan perbuatan kita kepada perasaan kasih dan sayang ini (kepada Dia). 

Dengan cinta dan kasih sayang ini, penyembuhan penyakit akan berlaku pada tahap zahir dan batin. Dan kita akan dapat melihat banyak "keajaiban" (miracles) yang berlaku dalam hidup kita.
Di dalam ayat ke 3 Surah Al-Fatihah, Allah sekali lagi memilih nama "Ar-Rahman" dan "Ar-Rahim". Surah Al-Fatihah merupakan ibu Al-Quran dan inti pati segala pengajaran dan hukum dalam Islam. 

Oleh itu, sangat jelas kedua sifat ini seharusnya ada pada kita juga, supaya kita menjadi insan yang taat pada suruhanNya dan sentiasa berada di atas jalan yang betul dan yang terbaik untuk diri kita dunia akhirat. Supaya segala perbuatan dan keputusan yang kita ambil adalah yang tepat.

Kita harus mempelajari dan benar-benar memahami secara mendalam maksud kedua nama teragung itu dan mengenal sifat itu. Baru kita akan dapat merasakan cinta padaNya, iaitu cinta yang hakiki, cinta yang sebenar dan cinta yang kekal.  

Oleh itu, apa kata, pada tahun baru ini, kita merubah fokus kita dalam kehidupan ini lebih kepada memberi. Bercinta dan berkasih sayang tanpa mengharapkan  balasan. Bukan bercinta dan berkasih sayang untuk memenuhi keinginan diri sendiri.  

Kita cuba buang sifat mementingkan diri sendiri, Buat kerja-kerja yang boleh memanafaatkan dan menggembirakan orang lain. Sentiasa fikirkan cara untuk membuat sesuatu yang boleh merubah kehidupan orang lain supaya menjadi lebih baik atau selesa.

Kita buang ego yang tidak mahu memaafkan orang, perasaan marah dan benci pada orang walaupun kita bukan yang melakukan kesalahan. Ini bukan mengalah, ini sebenarnya mengalahkan ego kita yang hanya akan membebankan jiwa kita dengan perasaan "ketidakpuasan hati". 

Atau perasaan pandang rendah dan hina terhadap orang yang kurang berada atau kurang pelajaran, orang yang belum dapat hidayah dan orang yang tersesat, tergelincir dan membuat kesilapan yang besar dalam kehidupan mereka. 

Bukalah hati kita seluas-luasnya, sebesar-besarnya, dan terimalah kekurangan dan kesilapan orang lain. Kita ni pun bukannya sempurna mana pun, hanya Allah Yang Maha Sempurna.



Mencintai Allah kerana Dia Yang Maha Mencintai, kerana Dia yang menciptakan kita, bukan kerana inginkan pahala, bukan kerana inginkan syurga. MencintaiNya kerana Dialah Ar-Rahman, kerana Dialah Ar-Rahim. Kerana Dia amat mencintai kita.

Salam Maal Hijrah semoga hidup kita sentiasa diberkati Allah swt dan dipenuhi dengan kasih sayang rahmah dariNya dan juga dari manusia. 

No comments:

Post a Comment